|  Dari Kacamata: HALIK ZAMAN RAJA-RAJA Melayu dan rakyat@warganegara Malaysia adalah suatu perkara yang saling berkaitan antara satu sama lain. Pertalian antara Raja-Raja Melayu dan orang Melayu sudah terjalin berabad lamanya dan senario ini tidak mungkin akan terubah, bagaikan aur dan tebing. Taat setia dan penghormatan rakyat kepada Raja-Raja Melayu terlalu kukuh dan tidak mampu diganggu-gugat oleh apa jua keadaan. Senario ini telah menjadi warisan adat dan pegangan orang Melayu berabad lamanya. Kesetiaan kepada Raja-Raja Melayu masih lagi kekal di hati rakyat Melayu sehingga abad ke-20. Raja-Raja Melayulah tempat rakyat berpayung di bawah panji-panji ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agung atau Raja-Raja Melayu sehingga ke hari ini. Rakyat menjunjung kasih dan setia ke-Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agung dan Raja-Raja Melayu. Namun senario ini tercalar dan terubah di abad ke-21. Warisan dan adat budaya yang di junjung selama ini dalam menjunjung kasih kepada Raja-Raja Melayu mula ternoda apabila ‘segelintir’ rakyat Melayu mula taksub kepada UMNO. Penghormatan yang dikhususkan kepada Raja-Raja Melayu mula diubah haluannya kepada UMNO. Pemimpin UMNO pada ketika itu, Dato' Seri Dr Mahathir Mohammad telah berjaya meningkatkan taraf’ dirinya setaraf ‘Raja Melayu’ dan berjaya mempengaruhi persepsi sebilangan rakyat kepada dirinya dan UMNO. Beliau dengan berani dan lantang memecahkan tradisi orang Melayu yang telah sekian lama setianya kepada Raja atau Sultan. Dr Mahathir dengan 'gagah'nya menarik kekebalan undang-undang ke atas semua Raja-Raja Melayu. Bukankah ini suatu bentuk penghinaan kepada Raja-Raja Melayu ? Bukan itu sahaja, ada lagi para pemimpin UMNO yang tidak mahu mengiktiraf Raja Melayu Kelantan yang ada, lantas melantik sendiri seorang Raja yang mereka mahu dan akhirnya berlakulah peristiwa 'PERTABALAN RAJA DI BAWAH POKOK yang pernah berlaku diKelantan dalam tahun 90-an oleh Tan Sri Annuar Musa’. Bukankah situasi ini juga bertujuan untuk memperlekehkan kuasa Raja-Raja Melayu? Begitu senang mereka meletakkan 'status' diri mereka sebaris dengan Raja-Raja Melayu kerana apa yang telah mereka lakukan itu tidak sepatutnya dilakukan kepada Raja-Raja Melayu seperti peristiwa memalukan di Kelantan pada tahun 90'an. Sekarang ini, Kerajaan UMNO/BN telah memberikan kefahaman kepada seluruh rakyat jelata bahawa semua Raja-Raja Melayu kini dikenali sebagai Raja-Raja yang berperlembagaan. Di mana di dalam konteks ini, semua Raja-Raja Melayu harus tunduk dan patuh kepada sistem perundangan negara Malaysia. Senario ini jauh merubah duduk-asal Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Negara atau negeri masing-masing. Kita percaya sifat kepimpinan sebegini yang menolak kemutlakan imuniti Raja-Raja Melayu tidak pernah terwujud di hati kepimpinan terdahulu. Lihatlah kehilangan para pemimpin politik yang lalu amat rakyat Malaysia rasai kerana ketelusan dan keikhlasan para pemimpin UMNO terdahulu terhadap rakyat dan Raja-Raja Melayu. Teringat kita satu perundangan yang telah di luluskan oleh sidang Parlimen pada tahun 90-an di mana atas saranan Presiden UMNO pada ketika itu yang mana mengusulkan, jika setiap penggubalan undang-undang yang telah di luluskan oleh sidang Parlimen atau DUN, tidak mendapat perkenan atau kelulusan dari ke-Bawah Duli Yang Di-Pertuan Agung atau Raja-Raja Melayu di setiap negeri dalam tempoh sebulan dari tarikh ianya di luluskan oleh sidang Parlimen atau DUN, maka undang-undang itu dianggap telah lulus. Biarpun ianya tidak mendapat restu dari ke-Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agung atau Raja-Raja Melayu. Kerajaan UMNO/BN telah memberi ruang kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri untuk membuat perubahan perundangan yang diperkenalkan oleh UMNO/BN itu sendiri bagi merubah undang-undang lama dan meluluskan perundangan baru. Tidakkah nanti kesempatan itu akan diambil oleh Kerajaan Pakatan Rakyat mengubah undang- undang Negeri membolehkan perlantikan Menteri Besar/Ketua Menteri di hadapan Speaker Dewan sahaja dan jika dalam tempoh satu bulan undang-undang tersebut tidak diperkenankan oleh Raja-Raja Melayu maka ia secara automatik undang-undang itu lulus dan sah digunakan. Kita tidak fikir Kerajaan Pakatan Rakyat mahu bertindak sejauh itu. Kerajaan UMNO/BN sebenarnya secara diplomasi mempermainkan kuasa-kuasa institusi Di-Raja sehingga ada antara Raja-Raja Melayu tidak sedar dimanupulasikan oleh para pemimpin 'berani mati' UMNO/BN. Bagi sesetengah Raja-Raja Melayu, hanya rakyat Melayu dalam UMNO/BN sahajalah yang dianggap Melayu, manakala orang Melayu dalam Pakatan Rakyat di labelkan oleh UMNO/BN sebagai penderhaka@petualang bangsa dan 'unwanted Malay'. Wajarkah rakyat yang menolak ideologi dan kefahaman UMNO/BN di layan sebegitu rupa? Perlukan orang Melayu PKR dan PAS dianggap sebagai kasta Melayu paling rendah dek kerana tidak menyokong UMNO/BN?
PEMIMPIN UMNO LAH YANG BUKA LALUAN UNTUK SAMAN SULTAN
http://lanh14.blogspot.com/
Tidak lama dulu, kerap berlaku tunjuk perasaan (demonstrasi) dan laporan polis. Jika dulu demonstrasi sinonim dengan apa didakwa kumpulan pembangkang, kini orang Umno daripada sayap Pemuda (termasuk Putera) dan Puterinya pun sudah pandai menunjuk perasaan.
Mereka menunjuk perasaan dalam pelbagai isu daripada tol dan kehilangan kuasa (seperti di Pulau Pinang) dan kini dalam soal kedaulatan raja iaitu isu derhaka dan saman ke atas Sultan Perak yang diuar-uarkan akan dikemukakan Pengerusi DAP, Karpal Singh.
Dalam soal ini, pemuda dan pemudi (puteri) Umno cepat melenting, tetapi maafkanlah mereka sebab mereka berdarah panas kerana begitulah adat muda, pantang dicabar sudah naik angin untuk melawan.
Baguslah, sebab ia menunjukkan mereka ada harga diri, mempertahankan sesuatu yang mereka lihat wajar dipertahankan.
Tetapi sebagai golongan muda yang masih banyak masa untuk merenung dan berfikir serta mentelaah, mereka sewajarnya mengkaji sebaik-baik dan mendalam apa yang diperkatakan oleh Karpal Singh, peguam tersohor itu. Penulis bukan mahu mempertahankan Karpal, tetapi mahu tahu apa landasan menyebabkan beliau berani bertindak menyaman Sultan.
Dalam satu sidang akhbarnya (selepas banyak laporan polis dibuat terhadapnya), yang sempat penulis lihat dalam ruangan berita TV3, Karpal Singh yang berkerusi roda, antara lain berkata, dia mempunyai premis yang baik untuk menyaman Sultan Perak.
Kata Karpal, sebagai bekas Ketua Hakim Negara, Sultan Azlan faham apa yang dia perkatakan, dan dia (Karpal) meminta wartawan bertanyakan sendiri perkara itu kepada Sultan.
Penulis sendiri tertanya-tanya apa yang dimaksudkan oleh Karpal; dan setakat ini belum lagi membaca laporan (wartawan) berkaitan apa yang disuruh Karpal Singh tanyakan kepada Sultan.
Bagaimanapun, atas perasaan ingin tahu, dan selepas bertanyakan rakan-rakan, penulis berpeluang menyemak buku teks sekolah yang membicarakan Perlembagaan Negara.
Buku itu adalah; Teks Pengajian Am STPM Kertas 1 dan 2 (Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd - Oxford)
Penulisnya adalah Wong Khek Seng; Raminah Haji Sabran; dan Kok Meng Kee.
Dalam Bab 6: Sistem Kehakiman Malaysia ditulis:
Mahkamah Khas (muka surat 183)
1. Mahkamah-mahkamah Khas membicarakan kesalahan oleh pihak-pihak tertentu sahaja.
2. Mahkamah ini tertutup (kecuali Mahkamah Syariah) dan tidak terbuka kepada orang ramai.
Jadual 6:4 (Jenis-jenis Mahkamah Khas di Malaysia) Mahkamah Khas Raja-Raja � kes-kes kesalahan yang dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Sultan-Sultan.
Mahkamah lain adalah Mahkawan Juvenil; Mahkamah Syariah; Mahkamah Tentera; Mahkamah Bumiputera dan Mahkamah Perusahaan.
Mahkamah Khas Raja-Raja (muka surat 185-186)
1. Mahkamah Khas Raja-Raja ditubuhkan di bawah Bahagian XV, Perlembagaan Persekutuan pada 29 Mac 1993.
2. Mahkamah ini membicarakan kesalahan yang dilakukan oleh DYMM atau Sultan mana-mana negeri atas sifat peribadinya.
3. Bidang kuasa mahkamah ini sama seperti Mahkamah Awam yang lain melalui Perlembagaan atau Undang-Undang Persekutuan dan pejabat pendaftarannya adalah di Kuala Lumpur.
4. Prosiding Mahkamah Khas Raja-Raja diputuskan mengikut pendapat majoriti anggota dan keputusannya adalah muktamat.
5. Tindakan atau prosiding mahkamah ini hanya mula dimulakan oleh Peguam Negara.
Keanggotaan Mahkamah Khas Raja-Raja
Perkara 182, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan keadilan mahkamah ini:
1. Dipengerusikan oleh Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan.
2. Hakim-hakim Besar Mahkamah Tinggi.
3. Dua orang lain yang memegang atau pernah memegang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan/Mahkamah Tinggi yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja.
Bidang Kuasa Mahkamah Khas Raja-Raja
1. Mahkamah Khas ini mempunyai bidang kuasa membicarakan semua kesalahan yang dilakukan oleh DYMM atau Sultan negeri-negeri di dalam Persekutuan.
2. Mahkamah Khas memiliki bidang-bidang kuasa sam seperti mahkamah-mahkamah awam yang beribu pejabat di Kuala Lumpur.
3. Semua prosedur sivil dan jenayah di mahkamah-mahkamah awam boleh dilaksanakan di Mahkamah Khas Raja-Raja.
4. DYMM atau Sultan terpaksa turun takhta jika dipenjara sehari atau lebih.
Demikianlah, selepas membaca bahagian ini, barulah penulis faham mengapa Karpal Singh begitu berani mahu menyaman Sultan Perak. Dia yakin dia ada hak berdasarkan kewujudan Mahkamah Khas Raja-Raja ini.
Berdasarkan catatan buku itu dinyatakan, Mahkamah Khas Raja-Raja ditubuhkan di bawah Bahagian XV, Perlembagaan Persekutuan pada 29 Mac 1993. Jadi apa sebenarnya yang berlaku pada tahun ini?
Menurut Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar, Kapal tidak akan dapat menyaman Sultan Perak tanpa Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 1993 (Kekebalan Raja�Raja) yang turut disokong oleh Timbalan Perdana Menteri (sekarang ini) Najib Razak dan ramai menteri dan ahli Parlimen BN yang masih berkhidmat sehingga hari ini.
"Pindaan itulah yang mewujudkan Mahkamah Khas kepada raja-raja Melayu," katanya, sambil menambah adalah menghairankan ahli-ahli Umno menunjuk perasaan membantah Karpal.
"Sepatutnya mereka menunjuk perasaan di depan pejabat Najib membantah tindakan beliau dan para pemimpin Umno dan BN lain yang menyokong dan meluluskan rang undang-undang yang membolehkan raja-raja Melayu disaman," katanya.
Karpal, katanya, tidak akan mendapat laluan jika pemimpin Umno dan BN tidak menyediakan laluan dengan pindaan Perlembagaan 1993 itu. "Adalah kelakar jika orang menggunakan laluan untuk menyaman raja-raja Melayu sahaja dimarahi sedangkan orang yang menyediakan laluan itu tidak dimarahi," katanya.
Berdasarkan FAKTA buku Pengajian Am itu, adalah penting untuk penunjuk perasaan Umno terutama pemuda dan puterinya yang berpendidikan tinggi (sekurang-kurangnya lepasan STPM yang sudah belajar Pengajian Am) untuk memikirkan rasional mereka menunjuk perasan.
Janganlah menunjuk perasaan berdasarkan sentimen emosi sebaliknya bertindaklah berdasarkan MAKLUMAT dan ILMU. Janganlah diingkari ilmu yang ditimba di sekolah dan universiti dulu!
|
No comments:
Post a Comment